Salam luar biasa bagus dan hebat sekali anda semua...
Mengapa anda boleh gagal ?
" Melakukan sebarang pekerjaan dengan penuh keghairahan akan menjadikan pekerjaan tersebut terasa lebih menyeronokkan dan kurang membebankan " - KM
Sedar tak sedar kita semua sedang memasuki musim tengkujuh. Tetapi saya pula bakal memasuki 'musim' yang lebih hebat daripada musim tengkujuh. Musim apa ? 'musim bujang' kepada 'musim kahwin'. Ho... ho... ho... Yosh!
Alhamdulillah... Dengan izin-Nya saya bakal mendirikan rumah tangga pada 25 Nov 2011 ini.
Ok... Tanpa berlengah, jom kita semak satu persatu 10 punca kegagalan manusia di bawah. Jika diikutkan, banyak lagi punca-punca kegagalan. Pasal kegagalan adalah satu ALASAN. Sebaliknya kejayaan pula adalah satu SEBAB KUAT. Ia bermaksud orang gagal asyik mencari alasan kenapa gagal. Sebaliknya orang berjaya pula asyik mencari sebab kuat kenapa perlu berjaya.
Pemikiran yang berbeza walaupun mempunyai maksud hampir sama. Tetapi ingat !!! Kesannya, satu pihak awal-awal lagi telah menempuh kegagalan sebelum sempat melakukan apa-apa tindakan manakala satu pihak lagi masih mempunyai peluang sama ada berjaya atau gagal hasil tindakan yang dilakukan. Renung-renungkanlah... Yosh!
10 Punca Mengapa Manusia Gagal
A) Tiada matlamat jelas dan khusus
Maksudnya anda mempunyai matlamat tetapi tidak jelas atau khusus. Contoh; anda nak menjadi kaya. Tetapi anda tak tulis atau gambarkan dengan lebih spesifik apa yang dimaksudkan dengan kaya itu. Ada orang berasa kaya apabila:
mempunyai pendapatan RM1,000 sebulan
mempunyai pendapatan RM10,000 sebulan
mempunyai simpanan RM1,000,000 di dalam akaun bank
dinaikkan pangkat ke jawatan yang diimpi-impikan selama ini
memiliki kebebasan memilih masa bekerja
mempunyai banyak waktu lapang bersama keluarga
sihat dan bebas daripada sebarang penyakit
dan macam-macam lagi...
Oleh sebab itu, anda perlu menulis atau menggambarkan matlamat yang ingin dicapai dengan sejelas-jelasnya. Jika matlamat terlalu umum, keghairahan anda untuk mengejar matlamat akan hilang.
B) Pendidikan tidak mencukupi
Maksudnya di dalam mencapai sesuatu matlamat seperti pekerjaan idaman, anda perlu menempuh beberapa peperiksaan dalam subjek tertentu. Jika gagal, maka harapan untuk memperolehi pekerjaan idaman akan tergendala.
Jika anda bercita-cita ingin menjadi seorang doktor, anda perlu mengetahui subjek atau ilmu apa yang perlu dipelajari sebelum layak mengikuti kursus kedoktoran. Begitu juga, jika anda bercita-cita ingin menjadi seorang businessman @ businesswomen, subjek Matematik dan English adalah keutamaan.
Malahan jika anda belajar subjek Prinsip Perakaunan, itu adalah satu 'nilai tambah' buat diri anda. Pasal ketiga-tiga subjek ini amat penting untuk anda memahami selok-belok dunia bisnes.
C) Tiada disiplin diri
Inilah salah satu punca utama mengapa ramai orang gagal. Jika pergi sekolah, suka sangat ponteng kelas. Walhal ibu bapa telah 'pecah peluh' mencari wang untuk menyaranya. Tidak menghargai langsung pengorbanan ibu bapa. Akibatnya, berisiko tinggi kandas dalam exam.
Kesan daripada itu, tidak dapat menyambung pelajaran ke tahap lebih tinggi. Lebih malang, sewaktu ingin memohon pekerjaan dengan mana-mana jabatan, langsung tidak dilayan. Alasan - tiada kelulusan akademik. Kecewanya perasaan ketika itu hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Apa yang pasti kedegilan masa sekolah dahulu telah menggelapkan masa depannya. Renung-renungkanlah adik-adik semua...
Begitu juga bagi mereka yang terlibat dengan alam pekerjaan. Suka sangat minta cuti walhal tiada apa-apa keperluan pun. Lebih teruk, suka sangat datang lewat ke tempat bekerja. Jika perlu check in sebelum 0745 pagi, suka sangat datang melebihi pukul 0800 pagi. Ketahuilah... tabiat buruk sebegini sebenarnya tanpa disedari telah memberikan kesan tak langsung kepada pekerjaan.
Bayangkan... awal-awal datang kerja lagi dah lewat, jika berada di tempat bekerja lagi buat hal. Pasal disiplin seseorang itu sangat berkait rapat dengan waktu datangnya ke tempat bekerja. Jika selalu lewat, sahlah dia seorang yang tak berdisiplin. Sebaliknya jika selalu awal atau sampai ke tempat bekerja sebelum waktu expired, jelas terbukti dia seorang yang pandai menghormati masa. Dalam erti perkataan lain, dia seorang yang berdisiplin.
D) Suka bertangguh
Ini tabiat orang malas. Suka sangat menangguhkan kerja-kerja yang diamanahkan sehingga ke saat-saat akhir. Kesannya, menimbulkan situasi kelam-kabut apabila berlaku sebarang kejadian yang tidak diduga. Contohnya; bos nak anda menyiapkan satu tugasan mudah pada minggu depan. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Tiba-tiba bos nak anda persembahkan tugasan berkenaan keesokan pagi. Bayangkanlah... macam mana kelam-kabutnya anda terpaksa menyiapkan tugasan. Walaupun tugasan itu mudah, tetapi apabila situasi berada dalam keadaan terdesak atau tak dijangka, siapa-siapa sahaja boleh 'tumbang'. Puncanya satu sahaja - tugasan yang boleh disiapkan dalam masa 10 minit itu sepatutnya disegerakan tak bertangguh sebaik sahaja menerima arahan bos.
Jadi tidak hairanlah akibat 'penangguhan 10 minit' itu, anda menjadi 'mangsa' maki-hamun bos. Yelah! Tugasan mudah pun bertangguh sampai seminggu. Siapa tak 'naik angin' kan. Apatah lagi keperluan tugasan tersebut berada dalam situasi terdesak.
Pepatah ada berkata;
" Kerja yang anda nak buat esok anda buat hari ini. Sebaliknya, kerja yang anda nak buat hari ini anda buat sekarang! " - KM
InsyaAllah... Dengan mengamalkan pepatah di atas, anda tidak akan suka bertangguh lagi. Yosh!
E) Tidak mempunyai nafsu seks yang jelas
Orang macam ni adalah jenis enjoy punya orang. Tidak pernah terdetik di hatinya ingin berumahtangga. Apa yang bermain di fikirannya adalah enjoy. Nafsu pada perempuan itu ada... tetapi memikul tanggungjawab sebagai suami tak nak. Akibatnya, berlakulah seks luar nikah tanpa berasa bersalah sedikitpun pada Allah SWT.
Bayangkan... tengah-tengah berseronok dengan gadis-gadis murahan, tiba-tiba ajalnya tiba sewaktu sedang menikmati seks luar nikah. Tak ker kalut jadinya... Gadis-gadis murahan berkenaan mungkin terkejut sekejap sahaja. Tetapi tidak lama. Selepas itu, terus kembali kepada tabiat lama iaitu memancing lelaki 'hidung belang' ke kamar tidur. Janji - dapat duit banyak di samping memuaskan nafsu seks sendiri...
Sebenarnya, mereka ini sama ada lelaki atau gadis berkenaan telah mengalami satu penyakit iaitu 'penyakit nafsu seks yang tidak jelas'. Yelah! Tahu seronok sahaja. Dosa pahala tolak ke tepi. Dapat anak luar nikah buang jer di mana-mana. Lebih teruk daripada syaitan iblis. Yang lelaki pula, tahu nak 'main' jer...
Asal jumpa gadis, nak 'main' jer di kepala otaknya... Bila dah dapat 'main' rasa menyesal sekejap, tetapi tidak lama... Bila nafsu mencanak balik, kembali mengulangi tabiat lama. Akhirnya apabila umur telah meningkat atau 'tak laku' lagi, mulalah gelabah nak cari pasangan.
Sekarang, memang rasa seronok lagi... Tetapi ingat !!! Umur kita semakin lama semakin tua. Bukannya menjadi semakin muda. Dan jangan lupa, hujung nyawa kita nanti berakhir ke dalam lubang kubur. Jadi, fikir-fikirkanlah... tak rasa kasihan ker pada diri kita diseksa di sana disebabkan maksiat yang kita lakukan.
F) Suka cari jalan mudah nak kaya
Ini satu lagi penyakit orang gagal. Suruh buat kerja tak nak. Suruh belajar lagi tak nak. Apa yang nak enjoy sahaja. Seronok nak... duit nak... tetapi yang sedihnya suka pula cari jalan mudah nak kaya. Pantang ada duit, kalau tak pergi tikam nombor ekor dalam seminggu tak sah. Kalau tak dapat duit, mulalah marah anak bini. Tarik muka masam depan bini.
Bila ada orang anjur skim pelaburan yang entah apa-apa seperti skim ternakan burung walet ker... skim lintah ker... skim ikan keli ker... suka benar join tanpa berasa sedikitpun perasaan bimbang ditipu. Hujungnya memang seperti yang telah dijangka. Ditipu penganjur skim. Duit habis. Impian menjadi cepat kaya berkecai. Puncanya satu sahaja - tidak selidik dahulu apa yang ingin diceburi. Dengar orang join, nak join juga... Dengan orang kaya join skim itu, mudah sangat nak ikut join sekali...
Ketahuilah... tanpa apa-apa ilmu mengenai sesuatu pelaburan, yang pasti berakhir dengan kerugian. Pelabur yang bijak bukanlah pelabur yang ghairah nak cepat kaya... Tetapi pelabur yang bijak adalah pelabur yang telah meminimakan risiko kerugian atau mengetahui selok-belok sesuatu pelaburan dengan jelas.
G) Dihantui oleh 6 ketakutan asas
Semenjak kecil lagi, kita didedahkan dengan ketakutan 'tidak kena pada tempatnya'. Bayangkan.... disebabkan mak cakap ada hantu dekat pokok pisang di sepanjang jalan menuju ke rumah tok guru mengaji Al-Quran, maka bila malam sahaja... minta ditemankan. Alasan - takut dikacau hantu.
Sepatutnya, apa yang perlu kita takuti BUKANLAH hantu jembalang, tetapi yang paling perlu kita takuti adalah Allah SWT. Pasal dialah Pencipta kita. Dialah yang Maha Menguasai kita. Tanpa-Nya, siapalah kita. Apabila zaman menjadi semakin moden, kita mula dihantui dengan 6 ketakutan asas iaitu:
Takut dikritik
Takut diserang penyakit
Takut ditimpa kemiskinan
Takut menempuh hari tua
Takut kehilangan orang tersayang (cemburu)
Takut mati
Dalam banyak-banyak ketakutan asas di atas, ketakutan pada mati adalah paling teruk. Kita tak perlu takut mati... Tetapi apa yang perlu kita takut adalah apabila tiada persiapan untuk menghadapi mati. Ketahuilah... semua makhluk bernyawa akan merasai mati.
Jadi, adalah sesuatu yang mustahil untuk mengelak daripada mati. Anda kebal ker... Anda kuat ker... Anda gengster ker... Anda kaya ker... Anda hebat ker... Yang pasti, hujungnya nanti anda akan mati. Cuma cepat atau lambat sahaja ajal datang menjemput anda. Ketahuilah... bila ajal anda telah tiba, tidak akan dilewatkan 1 saat pun... dan tidak akan dipercepatkan 1 saat pun. Renung-renungkanlah... Yosh!
H) Memilih pasangan hidup yang salah
Di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita berdiri di belakangnya. Dan di sebalik kejayaan seorang wanita, ada lelaki yang berada di sampingnya. Kata-kata ini sudah terlalu biasa kita dengar. Sangat sinonim... Tetapi pernahkan anda dengar kata-kata ini pula:
" Di sebalik kegagalan seorang lelaki, ada wanita di belakangnya. Dan di sebalik kegagalan seorang wanita, ada lelaki di sampingnya "
Petikan kata-kata di atas sesuai digunakan apabila anda tersilap memilih pasangan. Contohnya, anda seorang suami yang berjimat-cermat tetapi pasangan anda pula adalah seorang yang boros. Anda penat-penat cari duit... dia pula mudah-mudah 'hilangkan' duit anda tanpa keperluan yang jelas. Jadi, ini boleh mendatangkan ketidakharmonian dalam rumahtangga yang dibina jika tiada komunikasi penyelesaian di antara suami isteri.
Pernah saya membaca buku bertajuk " Memulakan Bisnes Sendiri" tulisan Pn Ainon iaitu CEO syarikat penerbitan PTS... Nak tau tak apa katanya;
" Kalau anda suka bisnes dan ingin menjadikan bisnes sebagai satu kerjaya, maka carilah pasangan (wanita) yang 'kaki bisnes' juga. Pasal hanya 'kaki bisnes' sahaja yang faham dengan bisnes. Kalau anda pilih 'kaki makan gaji' dikhuatiri anda tersilap memilih pasangan. Pasal jarang benar pemikiran 'kaki makan gaji' memahami dunia bisnes. Sedangkan penglibatan anda dalam bisnes memerlukan supporting penuh daripada seorang isteri "
I) Terlalu berhati-hati dalam setiap perkara
Saya pernah jumpa orang yang terlalu berhati-hati. Di mana ? Kat jalan raya. Disebabkan terlalu berhati-hati memandu di jalan raya, dia tidak sedar cara pemanduannya sebegitu telah menyebabkan berderet-deret kereta lain mengekorinya daripada belakang. Yang peliknya, tanpa berasa bersalah sedikitpun, dia tergelak-gelak bercakap dalam telefon mungkin dengan teman lelakinya kot.
Yang lawaknya, disebabkan sikap terlalu berhati-hati wanita tersebut memandu, tiada seorang pun yang memotong keretanya. Pasal keadaan jalan bukit Grik itu mempunyai double line. Tambahan lagi banyak pula selekoh tajam di sepanjang jalan. Jadi, makin lama memandu, makin berduyun-duyunlah kereta follow kereta wanita ini.
Kalau nak tau, paling saya tak dapat kawal diri (marah) di atas jalan raya adalah apabila berjumpa pemandu-pemandu seperti ini. Mana tak angin dibuatnya. Masa perjalanan telah 'rugi' hampir 1 jam disebabkan seorang pemandu wanita yang terlalu berhati-hati. Sepatutnya, dah tahu memandu perlahan, memandulah di bahu kiri jalan. Kasi kereta-kereta yang lebih laju memotong kereta anda. Nak tau tak macam mana saya 'mendidik' pemandu seperti ini ?
Apabila tiba di satu selekoh tajam yang mempunyai double line di mana sesiapapun tidak menjangka akan berlaku aksi memotong, di situlah saya memotong keretanya. Pasal mood perjalanan saya sedikit terganggu disebabkan dia. Yang lawaknya, sewaktu memotong keretanya... saya sempat menjeling tajam kepada wanita itu. Bukan nak mengurat pun... Pasal nak tengok dia pun dah hilang selera. Cuma saya nak tengok aksi lawak percuma daripadanya.
Apa dia ? Ya... saya dapat saksikan sendiri bagaimana dia kelam-kabut memegang stereng keretanya dengan kedua-dua belah tangan bertujuan mengawal keretanya yang sedikit bergoyang. Dalam masa yang sama, telefonnya yang 'melekat' kat telinganya tadi dah 'ghaib' secara tiba-tiba. Mungkin terjatuh bawah kusyen kot. Lagi melucukan, dia siap kasi bunyi hon pada saya sambil menunjukkan muka masamnya sepuluh sen tidak guna. Hilang terus keceriaan pada wajahnya sebentar tadi.
Yang pasti apabila dia bertemu lagi pemandu-pemandu lagak seperti F1 di atas jalan raya, dia akan cepat-cepat memandu keretanya ke tepi. Maklumlah... saya telah memberi satu 'kejutan istimewa' kepadanya di atas jalan raya Bukit Grik. Ho..ho...ho... Yosh! Baru puas gitu...
J) Memilih rakan niaga yang salah
Saya ada kenal seorang kawan yang baru sahaja menamatkan perkhidmatan tentera. Berhenti 13 tahun. Dan apabila berhenti begini, dia tercari-cari bisnes yang bersesuaian dengan minatnya iaitu memancing. Cari punya cari... Akhirnya berjumpalah dengan bisnes yang diminati. Bisnes apa ? Bisnes ternakan ikan arowana. Lokasinya di Bukit Merah, Perak.
Disebabkan percaya dengan kawan yang sudah lama berada dalam dunia bisnes berbanding dirinya yang 10 tahun lebih berkhidmat dengan kerajaan (makan gaji), maka tanpa apa-apa kaji selidik pun... terus dia memberikan kepada kawan bisnesnya itu 'duit berhenti' mencecah RM50k lebih juga.
Memang dia percaya habis cakap kawannya itu disebabkan telah lama berkawan. Janji setiap bulan, dapat RM3k - RM4k tanpa perlu buat apa-apa kerja pun. Kawannya cerita lagi, jika ikan arowananya yang betina beranak, anak ikan arowana tu dapat dijual di pasaran mencecah RM1.5k - RM3k seekor. Wow !!! 'Masuk' lagi fikirnya
Namun langit tidak selalu cerah. Rupa-rupanya dia telah terperangkap dengan skim penipuan ternakan ikan arowana Bukit Merah. Macam mana baru dapat tau ? Pasal penganjur skim berkenaan telah ditangkap atas kesalahan menerima deposit haram daripada orang ramai bertopengkan skim ternakan arowana.
Tepuk dahi kawan saya itu. Dia tidak menyangka sama sekali walaupun pelaburan ikan arowana itu sah, tetapi disebabkan skim itu tidak mendapat kelulusan kerajaan, dia terpaksa kerugian berpuluh ribu ringgit dalam sekelip mata.
Pesanan saya; jika nak melabur duit anda dalam apa-apa pelaburan sekalipun, kaji selidik dulu sampai puas hati dan biarlah jelas. Tak guna menyesal selepas rugi. Sebetulnya, biar menyesal dulu supaya tidak rugi. Baru cun gitu...
#Nota: Ada 12 lagi sebab-sebab kegagalan yang tidak sempat saya huraikan iaitu:
Memilih pekerjaan yang tidak sesuai
Membazirkan tenaga kerana fokus BUKAN pada matlamat utama
Boros dan tidak berjimat-cermat
Buat kerja, tetapi tiada minat
Buat kerja, tetapi tiada ghairah
Gagal bekerjasama dengan harmoni
Meneka dan bukannya berfikir
Ego dan angkuh
Tidak jujur
Kekurangan modal
Tidak berani mengaku salah apabila gagal
Bersikap keterlaluan dalam hal pemakanan dan seks
" Fakta yang dianggap penting adalah sebarang fakta yang boleh digunapakai untuk mencapai matlamat utama anda atau sesuatu fakta yang ada kaitannya dengan pekerjaan seharian anda. Yosh! " - KM
" Segala fakta lain, walaupun kelihatannya seperti berguna dan menarik, secara perbandingannya boleh dianggap sebagai tidak penting " - KM